Thursday, 24 May 2012

DEBAT SINAR : PTPTN BERSAMA KHAIRY JAMALUDDIN

DEBAT SINAR 
 PTPTN BERSAMA KHAIRY JAMALUDDIN DAN RAFIZI RAMLI





TEMA Debat Sinar Harian 

"Pemansuhan PTPTN dan Hala Tuju Pendidikan Tinggi" antara 
Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli dan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin 

Tuesday, 22 May 2012

FAKTA ATAU AUTA



PORTUGIS DI MELAKA
Melaka ditawan oleh Alfonso de Albuquerque, seorang Wizurai Portugis pada 24 Ogos 1511 dan menjadikannya suatu pangkalan strategik bagi pengembangan pihak Portugis di Hindia Timur. Sultan Mahmud Shah, Sultan terakhir yang memerintah Melaka telah  berundur ke daerah pedalaman yang kemudiannya memberikan tentangan kepada pihak Portugis dengan serangan sekejap-sekejap dari tanah daratan dan juga melalui laut. Akhirnya, pada tahun 1526, seangkatan kapal yang besar di bawah Pedro Mascarenhaas dihantar oleh kerajaan  Portugal untuk memusnahkan bandar Bentan yang melindungi Sultan Mahmud ketika itu. Sultan Mahmud terpaksa melarikan diri melintasi Selat Melaka terus ke Kampar, Sumatera di mana beliau mangkat dua tahun kemudian.

St. Francis Xavier, seorang mubaligh Jesuit, tinggal di Melaka selama beberapa bulan pada tahun 1545, 1546 dan 1549 kerana hendak menjadikan Melaka sebagai pusat operasinya di Timur. Pemerintahan Portugis di Melaka berlangsung selama 130 tahun sebelum tewas kepada Belanda yang menguasai Melaka pada tahun 1641 dengan bantuan Johor.

MENGAPA HANYA MELAKA 
Hairan ya, dalam tempoh yang agak lama, yakni  ratusan tahun,  kenapa  dan mengapa kuasa Portugis hanya bertapak di Melaka sahaja. Mari kita selidikinya ....... ??

ALKISAH setelah masuk tahun ke-10 berada di Melaka, maka wizurai Portugis itu pun memangil lah pegawai-pegawainya  bermesyuarat . Hasrat hati beliau ialah meluaskan kuasa ke negeri-negeri  utara tanah Melayu  pula,  yakni Kedah, Perlis , Pulau Pinang dan Perak. Setelah itu beliau bercita-cita  menguasai  pantai Timur dan seterusnya  selatan Tanah Melayu.

Maka beliau pun  memilih  tiga orang pegawai kanannya yang kemudian  dilantik sebagai penyiasat khas bagi mengkaji kedudukan pertahanan  negeri-negeri  tersebut . Hasil siasatan mestilah disampaikan kepada wizurai dalam tempoh tidak lebih tiga bulan. Pegawai yang dipertanggungjawabkan menjalankan misi khas itu ialah Lopez de Sequiera, Leftenan Ruy de Aurujo dan  pegawai kanannya Francisco Barreto. Maka tanpa bertangguh ketiga-tiga mereka bergegaslah menjalankan misi tuan wizurai.
Apabila sampai,  mereka pun menyelinap masuk ke dalam negeri tersebut  dengan menyamar sebagai  saudagar. Banyaklah jualan yang mereka bawa termasuk tekstil. Mereka telah pun masuk ke Perak, kemudiannya langsung ke Pulau Pinang tanpa bertangguh ke Kedah pula. Tiap kali bertemu penduduk ke tiga-tiga negeri tersebut, hati mereka sentiasa berdebar-debar, curiga dan cemas. Kemudian pada suatu pagi sewaktu minum di sebuah warung, mereka membuat keputusan segera pulang setelah  terdengar seorang isteri bercakap-cakap kepada suaminya,

"Pak hang kata nak makan lopez, ni dia dah mai dah ….." 
Mendengarkan itu, hati mereka sangatlah kecut, bimbang dan ragu. Maka mereka bertiga pun  tidak lagi tunggu  lama, terus  sahaja pulang  menghadap wizurai dan melaporkannya.


Ayat translate lebih kurang berbunyi : 
Tuan wizurai, kami rasa elok kita batalkan sahaja hasrat menyerang negeri Perak, Kedah dan Pulau Pinang itu.
"Kenapa pula? .  Saya ada dengar negeri tersebut tidak lah kuat sangat. Kita boleh dapat dengan mudah sahaja."  Celah tuan wizurai dengan perasaan masih bersemangat.
Dengan nada penuh kebimbangan dan tergopoh gapah mereka menceritakan segala-galanya yang mereka dengar semasa berada di negeri-negeri tersebut .

”Tetapi tuan wizurai, di Melaka ini kita terpaksa berhemas pulas berhadapan dengan hanya lima hang sahaja, . Ini kan  pula di negeri-negeri tersebut….


"Mereka sangat kuat tuan wizurai..  sana ada ramai hang, di mana-mana pun ada hang ,  saya tengok ada hang sanggup ka, ada hang nak pi mana, ada juga hang nak mampos,  kepala hotak hang pun ada.  Ada juga hang amik ni dan bagai-bagai hang lagi… kuat nya mereka hingga lopez pun mereka nak makan“ Sambung mereka lagi sambil mengeleng-ngeleng kepala serentak.


“Oh iya ka ? jika benarlah hal yang demikian itu , maka baiklah kita lupakan sahaja hasrat menawan negeri-negeri tersebut. Sanat merbahaya itu”. Alfonso de Albuquerque,pun brsetuju lah dengan keputusan mereka bertiga.

he he he .... ader betui kot itew cerita !!!  : )

Malaya History: Orang Melayu Dalam Pentadbiran Portugis di Melaka

Malaya History: Orang Melayu Dalam Pentadbiran Portugis di Melaka

Monday, 21 May 2012

PADI, BERAS DAN NASI


PADI

Padi (Oryza sativa) merupakan satu daripada tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk di Asia, Amerika Latin dan Caribbean. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Padi sawah memerlukan banyak air, baja dan perlu ditanam dengan cara yang teratur.
Tanaman padi memerlukan sinaran matahari, suhu dan jumlah hujan (18-40 Celcius dan 1240 mm/tahun) yang cukup dan memerlukan keadaan air bertakung. Oleh itu, tanah-tanah berstruktur halus seperti lempung, lempung berkelodak, lom lempung atau lempung berpasir adalah sesuai. Sifat kimia tanah sawah yang subur ialah pH (5.0-6.0), nitrogen (2-3%), fosforus (>40 ppm), kalium (>0.1 meq/100g), CEC (>20 meq/100g) dan karbon organik (2-3%).


Padi sawah banyak di tanam di Semenanjung Malaysia iaitu di Pantai Barat terutamanya di bahagian Utara. Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan terdapat satu musim lembap yang ketara dengan purata hujan tahunan melebihi 3500 mm. Kesesuaian ini di tambah lagi dengan adanya musim panas yang berpanjangan. Padi sawah yang di tanam di Malaysia sekarang merupakan hasil kacukan dan penyelidikan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan benih padi yang bermutu. Penyelidikan oleh pihak MARDI membantu pembangunan jenis padi yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak, dan mempunyai daya tahan penyakit yang lebih tinggi.
Padi huma merupakan padi asal yang ditanam di Malaysia sebelum padi sawah diperkenalkan. Padi huma atau padi bukit, biasanya di tanam di kawasan lereng-lereng bukit secara teres dan tidak memerlukan penggunaan air yang banyak. Walau bagaimanapun padi huma mempunyai hasil yang rendah dan kurang bermutu. Ini disebabkan padi huma ditanam dengan cara tradisional dan kurang menggunakan peralatan moden serta  baja dan  benih yang digunakan adalah kurang bermutu. Padi huma  juga tidak dijaga dengan baik  kerana diusahakan secara kecil-kecilan oleh penduduk setempat di pedalaman. Dengan itu  padi huma sering  dirosakkan oleh serangga. Padi huma banyak ditanam di Sabah dan Sarawak yang kebiasaannya diusahakan oleh bumiputera seperti Iban dan Murut.  Di semenanjung pula, padi huma ditanam oleh orang-orang asli di kawasan pedalaman yang berbukit bukau. Kelebihan padi huma adalah padi huma tidak memerlukan jumlah air yang banyak dan dapat ditanam di kawasan di mana air tidak dapat bertakung.

Padi huma yang terkenal di Sarawak ialah yang ditanam di Bario oleh orang Kelabit. Bario, yang bermaksud "angin" dalam bahasa Kelabit adalah sebuah dataran tinggi terletak kira-kira 1,150 meter di atas paras laut di kawasan timur-laut Sarawak, di situ  ialah  sumber bagi sejenis  padi huma yang menghasilkan beras wangi, yang popular dengan sebutan "beras Bario." Selain itu, ia juga terkenal dengan nenasnya yang manis dan enak.


BERAS

BERAS ialah sejenis bijirin yang dihasilkan daripada  padi yang dibuang kulitnya.  Terdapat dua jenis beras iaitu beras biasa untuk nasi dan beras  pulut.



Beras pulut (Glutinous Rice) ialah beras yang melekat dan melekit apabila dimasak.  Jenis beras ini sering digunakan untuk sushi atau pemanis mulut.  Pulut menyerupai beras tetapi warnanya tidak berkilat dan ia mengandungi kandungan kanji yang lebih banyak, menjadikannya melekit apabila dimasak. Pulut boleh dibuat tapai pulut, pulut kuning, pulut lepa, pulut manis

Pulut tidak  mengandungi gluten diet, iaitu ia tidak mengandungi glutenin dan gliadin. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk diet bukan gluten. Apa yang membezakannya daripada jenis-jenis beras yang lain adalah bahawa ia mengandungi amat sedikit atau langsung tidak mengandungi sebarang amilose, tetapi sebaliknya mengandungi banyak amilopektin. Kedua-dua bahan tersebut merupakan bahan kanji. Amilopektin menyebabkan bijirin ini bersifat lekit. Perbezaan ini telah dikesani ke satu mutasi tunggal yang dipilih oleh petani . Pulut  direkodkan kewujudannya sejak sekurang-kurangnya 1,100 tahun dahulu  lagi di kawasan Thailand, Jepun, Vietnam, China, dan Laos.

NASI

NASI ialah makanan ruji penduduk di kebanyakan negara Asia. Nasi  dihasilkan dengan memasak beras bersama sedikit air, dan cara ini  disebut sebagai menanak, iatu daripada kata dasar tanak. Nasi juga boleh dimasak dengan cara mengukus. Apabila  sudah masak,  nasi akan kelihatan berbiji-biji dan berwarna putih. Nasi selalunya dimakan  bersama lauk pauk seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran yang dimasak mengikut resepi tertentu, samada digoreng atau dibuat sup dan gulai  atau kari untuk kuah.

Orang Melayu sangat pandai memasak nasi. Pelbagai  citarasa nasi boleh dinikmati dengan pelbagai jenis lauk pauk. Nasi Lemak  adalah sangat sinonim dengan Malaysia.  Juadah ini dijadikan sarapan bagi penduduk di Malaysia. Nasi kerabu dan nasi dagang terkenal di pantai timur Malaysia, iaitu Kelantan dan Terengganu. Nasi ulam pula menjadi juadah  penduduk negeri Kedah bersama sayur keladi. Selain itu nasi daging, nasi tomato, beriyani, nasi hujan panas dan lain-lain digemari penduduk tempatan di Malaysia.  Nasi juga boleh digoreng sebagai hidangan istimewa dengan pelbagai resepi. 



Saturday, 19 May 2012

GUNUNG RENG



  
GUNUNG RENG, mitos atau lagenda ?
Gunung Reng yang tersergam indah di pinggir jalan Lebuh Raya Timur Barat di Kampung Batu Melintang, Jeli, mempunyai banyak catatan sejarah selain sebagai  pusat pelancongan yang unik. Kehadiran sebuah batu besar yang dipanggil gunung ini juga sering berlegar dalam minda pengguna lebuh raya tersebut yang menggamit mereka untuk singgah menjelajahi dan meneroka rahsinya. Sebelum ini ketulan batu gunung ini juga tidak sepi daripada dikunjungi beberapa pengkaji sejarah serta pelancong luar. 



PUTERI GUNUNG LEDANG
Terletak kira-kira 125 kilometer dari Kota Bharu, dengan ketinggian kira-kira 1889 meter dari paras laut ,  gunung yang unik itu dipercayai ada kaitan dengan legenda Puteri Sa’adong  yang menjadikan gunung itu sebagai  tempat tinggal  untuk seketika setelah berpindah dari Bukit Marak di Bachok. Khazanah yang ada di dalamnya  juga dikatakan  masih menjadi rahsia sehingga ke hari ini.  
Kerana itulah juga Gunung Reng mempunyai gua-gua dalam pelbagai bentuk umpama ruang-ruang bilik  seperti tempat hulubalang, tempat bermain makyung, serta bilik-bilik seperti Gua Badak, Gua Payung, Gua Kaca, Gua Rimau dan Gua Bedak.  Melalui Gua Payung itulah dikatakan ia menjadi pintu masuk lereng gua-gua berkenaan.
Walau bagaimanapun, mengikut catatan sejarahnya Puteri Sa’adong tidak tinggal lama di Gua Reng disebabkan beliau kecewa dengan sikap penduduk kampung yang meminjam barang-barangnya seperti pinggan mangkuk tetapi tidak memulangkan semula. 
Ekoran daripada itulah dikatakan Puteri Sa’adong telah merajuk dan lari menyembunyikan diri di Gua Ayam di Gua Musang dan barang-barang atau khazanah yang tersimpan di gua tersebut turut menjadi batu, termasuk seekor gajah.
ASALNYA
Asalnya gunung ini adalah daripada seketul batu besar di Ulu Sungai Reng yang terletak di negeri Perak dan jaraknya kira-kira tiga malam perjalanan di sempadan Kelantan dan Perak untuk sampai ke Kampung Tala. Perkataan ‘reng’ mengikut dialek Kelantan membawa maksud kudrat. 
Pemandangan sekitarnya cukup indah sekali dengan panorama sungai yang jernih  mengalir perlahan. Betul-betul seperti sebuah halaman yang terhampar. di hadapan guanya ialah sebuah dataran yang seumpama padang ragut yang menghijau dengan rumput yang segar.  Sungguh menjadi tanda tanya, bagaimana tiba-tiba seketul batu besar berupa sebuah gunung berada di situ , terasing jauh dari gunung ganang yang lain.  Persoalan tersebut terjawab melalui sebuah kisah miskipun agak misteri. 
Menurut catatan sejarahnya yang diletakkan  di pintu masuk ke kawasan gunung itu, tapak asal gunung berkenaan dikenali sebagai Kampung Tala yang dibuka oleh Tok Tadeh dari keturunan Pulang Hari, dari Jawa. Mengikut cerita yang tercatat pada papan maklumat tersebut, gunung itu wujud adalah ekoran kifarat Tuhan terhadap makhluknya yang telah melanggar tatasusila masyarakat sewaktu mengadakan  keramaian di  sebuah kampung yang terdapat di situ. 
 KERAMAIAN
Mengikut kisah, pada masa dahulu, penduduk  Kampung Tala  itu dikatakan ingin mengadakan keramaian  secara besar-besaran selama tujuh hari tujuh malam dengan pelbagai permainan hingga ke acara penutupnya. 
Sebagai kemuncak perayaan tersebut mereka bersetuju melagakan kucing dengan anjing di atas bumbung rumah. Permainan yang tidak pernah diadakan sebelum itu dikatakan telah diadakan pada waktu Zuhur dan telah mendapat sambutan dari masyarakat yang tidak pernah melihat acara ganjil yang dipersembahkan itu.


Menurut ceritanya lagi, disaat orang ramai bersorak-sorai, dengan tiba-tiba berlaku ribut taufan yang dahsyat diikuti hujan lebat. Dalam keadaan  kelam-kabut itu dikatakan terdapat seorang perempuan tua dan cucunya telah berlari meninggalkan keramaian tersebut untuk pulang ke kampungnya yang dikenali dengan Kampung Gantang yang terletak  berhampiran Kampung Tala untuk mengangkat padi jemurannya. Selesai memunggah padi yang dijemur dan keadaan hujan semakin reda, perempuan tua bersama cucunya itu telah kembali semula ke Kampung Tala, akan  tetapi alangkah terkejutnya apabila melihat kampung itu telah dihempap batu besar atau gunung yang melenyapkan sama sekali kampung itu.

Menurut catatannya lagi, perempuan tua dan cucunya inilah yang menjadi pencerita kepada generasi-generasi sehingga sekarang mengenai sejarah kemunculan ‘Gunung Reng’ tersebut. 
BUKTI
Bukti berhubung batu besar yang menghempap Kampung Tala itu dikatakan  sangat jelas  kerana dipercayai bahawa  tempat asal gunung ini yang terletak di ulu sungai Reng, di negeri Perak itu telah pun  menjadi sebuah  kolam. Sehingga sekarang dikatakan tapak kolam yang terdapat di Hulu Sungai Reng tersebut masih   berbentuk seperti Gunung Reng yang terdapat di Kelantan.  
Walau bagaimanapun sehingga ke hari ini, rahsia Gunung Reng masih belum terungkap sepenuhnya  dan hanya menjadi misteri serta tanda tanya kepada pengguna lebuh raya pantai timur, serta pengunjung-pengunjungnya. Kewujudannya serta  keunikan struktur batu-batannya terus menjadi tanda tanya kepada  pelancung dan pengkaji-pengkajinya. Sebagaimana gua-gua yang terdapat di gunung-gunung lain yang ditemui dan diterokai oleh penggemar dan pencinta alam, Gunung Reng tetap mempunyai keistimewaan tersendiri.


wallahulam....

Friday, 18 May 2012

HANYA PUISI







HANYA PUISI

kupuisikan ini untuknya
dia yang suatu waktu dulu menapak dalam mimpiku
dia yang tiba2 kemarin nya ......
tanpa secebis pesan berlalu
sewaktu butiran embun  masih mendingin

tanpa salam , tanpa pesanan
umpamanya angin jua
saat aku menyedut segarnya udara pagi
sesaat aku tidak menyedari
kau telah berlalu

dia yang ingin ku panggil sayang
dia yang ingin aku disampingnya pada setiap saat,
pada setiap hembusan nafas ini
dia yang ingin aku bersumpah
akan bersama menunggu terbenamnya mentari diufuk
namun kemarin
dia yang ku dambakan
umpama bayang-bayang di balik awan

terkasima aku di bawah pohon-pohon hasrat
pasrah ......
pada menatap  jatuhnya 
helai-helai  daun harapan 
ke bumi jua tempat menghadap

kesepian ini membuatkan aku
termanggu, terkapai 
dalam berjuta persoalan
mengapakah dikau ?????????????????????






.......azza, edit puisi 6 MAY 2012


Wednesday, 16 May 2012

TOKOH TERKENAL



TOKOH TERKENAL

Saya masih teringat suatu waktu yang bosan. Tiba-tiba mood menonton saya datang, lalu saya pun mula menghadap peti televisyen dan sudah tentu channel 550 -555 menjadi pilihanku. …..   semasa memilih channel  discouvery saya terpempam dengan  satu dokumentari  yang cukup menarik. Ianya berkenaan Perang Salib yang berlaku di Baitul Muqaddis dan  keperkasaan  Sultan  Salahuddin Al-Ayyubi mengatasi Raja Richard 1 dari England.

Melalui rencana tersebut saya dapati kedudukan Salehuddin Al-Ayyubi dari pandangan Barat sangatlah tinggi. Beliau sangat dikagumi dan digeruni di Eropah. Siapakah Salahuddin Al-Ayyubi ??? saya rasa  tidak ramai juga yang mengenalinya .

SULTAN SALEHUDDIN AL-AYUBBI

Salahuddin Al-Ayyubi adalah seorang pahlawan dan raja yang gagah berani. Beliau terkenal dengan kewarakan dan keberanian yang luar biasa sehingga berjaya mengalahkan tentera Salib yang memang terkenal dengan kezaliman dan keperkasaannya.
Nama sebenar beliau ialah  Shalahuddin Yusuf bin Najmuddin Ayyub dilahirkan di Takrit Irak pada tahun 532 Hijrah /1138 Masihi dan wafat pada tahun 589 H/1193 M di Damsyik. Beliau adalah pengasas Daulat Al-Ayyubiyah dan bergelar Sultan Shalahuddin. Seorang pahlawan Islam yang paling gagah berani dalam perang Salib dan berhasil merebut kembali Baitul Maqdis dari tangan kaum Salib Kristian.


PERANG SALIB


Perang Salib ialah beberapa siri kempen perang yang dipengaruhi isu keagamaan dan politik sekitar kurun ke-11 hingga ke-13 Masihi. Misi asal tentera salib adalah menawan Baitulmuqaddis dan kawasan sekitarnya daripada orang Islam selain matlamat sampingan seperti menawan semula  Kota Constantinople (yang berjaya semasa Perang Salib Keempat).
Berpunca hasutan  Paderi bahawa  Jerussalem merupakan kota Suci bagi ketiga-tiga agama samawi yakni Islam, Yahudi dan Kristian. Di dalam kota inilah letaknya Masjid Al-Aqsa yang dibangun oleh Nabi Sulaiman dan menjadi Kiblat pertama umat Islam sebelum beralih ke Baitullah di Makkah. Ketika Nabi Muhammad Isra’, singgah dan solat di masjid ini sebelum Mi’raj ke langit. Nabi Isa as. juga dilahirkan di Baitullaham berdekatan kota Jerussalam ini. Di masa pemerintahan Khalifah Umar bin Khattab (13-23 H/634-644 M) Jerussalam dapat direbut oleh kaum Muslimin dalam suatu penyerahan kuasa secara damai.


Terdapat pelbagai Perang Salib di mana yang besar sebanyak sembilan kali. Perang Salib yang penting dan terbesar berlaku pada abad ke-11 hingga ke-13. Perang Salib bukan sahaja berlaku di tanah orang Islam tetapi juga di Iberia dan Eropah tengah.
Selain itu terdapat beberapa perang Salib kecil-kecilan terhadap fahaman yang dianggap sesat oleh pihak berkuasa Kristian dan musuh-musuh peribadi Paus atau raja-raja berkuasa yang lain. Perang Salib seperti ini telah berterusan ke abad ke-16 hingga Zaman Pembaharuan dan Reformasi apabila iklim politik dan keagamaan Eropah berubah.
Perang Salib Pertama adalah  berpunca daripada rayuan Alexius I kepada Paus Urban II meminta tentera upahan menolongnya menyekat kemaraan tentera Islam ke dalam wilayah Empayar Bizantine. Pada tahun1071, Empayar Byzantine ditumpaskan dalam Pertempuran Manzikert, dan kekalahan ini menyebabkan Empayar Byzantine kehilangan kesemua wilayah kecuali kawasan pesisiran Asia Minor (Turki baru).
Pada tahun 1187 iaitu semasa berlaku  Perang Salib Ketiga. Paus Gregory VIII  telah membuat seruan Perang Salib yang diketuai beberapa pemimpin utama Eropah: Philip II dari Perancis, Richard I dari England dan Frederick I, dan Maharaja Suci Rom
Dalam peperangan tersebut, tentera Islam telah berjaya merampas Baitul Muqaddis dan 10,000 tentara Salib terkorban. Di sini Salahuddin Al-Ayyubi telah menunjukkan ketinggian budi dengan tidak membalas perbuatan tentera Salib yang zalim semasa menawan Baitul Muqaddis dan negeri-negeri yang dilalui. Beliau telah memberi perlindungan kepada semua tawanan perang, perempuan, orang tua dan anak-anak tentera Salib dan memberi mereka tempoh 40 hari untuk meninggalkan Baitul Muqaddis. Beliau telah membersihkan  Baitul Muqaddis dengan membasuhnya dengan air mawar.
Sebelum itu tentera-tentera salib telah berundur apabila Frederick telah  meningal dunia kerana lemas di Cilicia pada tahun 1190, dan meninggalkan persekutuan yang tidak stabil antara kuasa England dan Perancis. Tentera salib di bawah  Philip pula pulang pada tahun 1191 setelah tentera salib merampas Acre dari tangan orang Islam. Pasukan tentera salib menuju ke pantai Laut Mediterranean. Mereka berjaya menewaskan orang Islam berdekatan Arsuf dan dapat melihat Jerusalem. Bagaimanapun, tentera salib tidak kekal bertapak di kawasan tempatan disebabkan bekalan makanan dan air yang kurang, ini mengakibatkan kejayaan kosong.

Richard pula apabila mendaratkan tenteranya  di pantai  telah jatuh sakit dan dalam keadaan tenat. Salehuddin telah memberikan layanan yang sungguh baik kepadanya dengan menghantar makanan dan buah-buahan sehinggalah  Richard sembuh. Setelah sembuh, Richard telah  beberapa kali berusaha membawa tenteranya mendekati  Muqaddis tetapi  gagal terpaksa  pulang pada tahun berikutnya . Perjanjian  genjatan senjata telah ditandatangani  dengan Sultan Salahuddin. Dalam perjalanan pulang, kapal Richard pecah dan mendarat di Austria. Di Austria, musuhnya, Duke Leopold menangkap dan memberinya kepada anak Frederick, Henry VI. Richard ditahan untuk mendapatkan wang tebusan raja. Pada tahun 1197, Henry sendiri berasa bahawa dia bersedia untuk Perang Salib, tetapi dia mati pada tahun yang sama akibat demam malaria.
Akhirnya seluruh tanah Palestin dapat ditawan semula. Walau bagaimanapun, orang-orang Kristian dibenarkan mengunjungi Baitul Muqaddis melalui satu perjanjian damai yang ditandatangani pada 1192. 


 **** PERANG SALIB juga didorong untuk mendapatkan semula relix salib yang masih hilang dan konon nya waktu itu berada pada Sultan Salehuddi Al-Ayubbi.





Tuesday, 15 May 2012

SELAMAT HARI GURU 2012



TEMA

 “GURU INOVATIF MELONJAKKAN TRANSFORMASI PENDIDIKAN NEGARA”

Tema Hari Guru  2012 di katakan  amat tepat sekali kerana tahun 2012 juga merupakan Tahun Sains dan Gerakan Inovasi di peringkat nasional. Guru adalah pemangkin kecemerlangan murid.  Peranan  guru  amat penting dalam melonjakkan prestasi pencapaian murid, di mana kecemerlangan dan kemenjadian murid adalah puncak manifestasi seseorang guru yang  dijelmakan  melalui  kerja-kerja pendidikannya.  

Guru mampu menghasilkan modal insan yang kompeten dan cerdas dalam aspek ilmu dan kemahiran; inovatif dan kreatif; bersahsiah dan paling penting bersifat patriotik serta cintakan tanah air. Guru  inovatif akan  mampu melonjakkan produktiviti ekonomi negara dengan melaksanakan  transformasi terhadap murid berbekalkan ilmu dan kemahiran sains teknologi terkini sekaligus  membuktikan bahawa modal insan berinovasi menjadi prasyarat utama kepada pertumbuhan produktiviti kearah penjanaan ekonomi berpendapatan tinggi.

FAKTA

Tarikh 16 Mei telah  dipilih sebagai Hari Guru kerana pada haribulan yang sama dalam tahun 1956,  Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report of the Education Committee) sebagai dasar pelajaran bagi negara kita. Semenjak itu, dokumen tersebut yang dikenali sebagi Laporan Razak (Razak Report) telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan , bagi negara  Persekutuan Tanah Melayu.
LOGO HARI GURU

Putih : Menunjukkan kesucian, kesabaran, kesempurnaan dan keamanan.
Perak : Menunjukkan rakyat berbilang bangsa bersatu padu dan teguh.
Kuning: Sinaran cahaya yang cemerlang pada masa hadapan.
Bulan dan bintang membawa erti yang terkandung dalam bendera Malaysia.

Merah : Menunjukkan keteguhan semangat.
Biru : Menunjukkan perpaduan muhibah.

Sempena sambutan Hari Guru tahun ini, saya mengambil kesempatan  untuk mengucapkan selamat hari guru kepada semua  insan yang bergelar  pendidik  di seluruh negara. TANPA GURU SIAPALAH MEREKA.  Walau siapa pun  anda , jasa guru janganlah dinafikan.

LAGU TEMA HARI GURU 2012


Guru Inovatif Melonjakkan Transformasi Pendidikan Negara
Lagu: En. Rosman bin Adam
Lirik: En. Zainal Ariffin bin Yusof (IPGM Kampus Ilmu Khas)


Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Bangun, beranikan terima seruan
Mendidik, memimpin penuh berwawasan
Menciptakan kreativiti
Melahirkan Guru Inovatif

c/o
Sahutlah cabaran, perubahan
Daulatkan Bidang Pendidikan,
Guru Inovatif Melonjakkan
Transformasi Pendidikan Negara
Malaysia Ku tercinta


Kita berbicara tentang inovasi
Ciptaan baharu gaya hidup kini
Meningkatkan Produktiviti Terkini

Tiada pernah jemu tiada putus asa
Sedia menimba ilmu di mana saja
Binakanlah keyakinan
Merentasi segala halangan
ulang c/o x2