Monday 21 May 2012

PADI, BERAS DAN NASI


PADI

Padi (Oryza sativa) merupakan satu daripada tanaman bijirin dan merupakan makanan ruji bagi ramai penduduk dunia termasuk di Asia, Amerika Latin dan Caribbean. Di Malaysia padi yang ditanam terbahagi kepada dua jenis iaitu padi sawah yang juga dikenali sebagai padi bendang, dan padi huma atau padi bukit. Padi sawah atau padi bendang adalah jenis padi yang paling banyak di tanam kerana dapat mengeluarkan hasil yang tinggi. Padi sawah memerlukan banyak air, baja dan perlu ditanam dengan cara yang teratur.
Tanaman padi memerlukan sinaran matahari, suhu dan jumlah hujan (18-40 Celcius dan 1240 mm/tahun) yang cukup dan memerlukan keadaan air bertakung. Oleh itu, tanah-tanah berstruktur halus seperti lempung, lempung berkelodak, lom lempung atau lempung berpasir adalah sesuai. Sifat kimia tanah sawah yang subur ialah pH (5.0-6.0), nitrogen (2-3%), fosforus (>40 ppm), kalium (>0.1 meq/100g), CEC (>20 meq/100g) dan karbon organik (2-3%).


Padi sawah banyak di tanam di Semenanjung Malaysia iaitu di Pantai Barat terutamanya di bahagian Utara. Keadaan ini berlaku kerana terdapat kawasan berpaya yang datar dan terdapat satu musim lembap yang ketara dengan purata hujan tahunan melebihi 3500 mm. Kesesuaian ini di tambah lagi dengan adanya musim panas yang berpanjangan. Padi sawah yang di tanam di Malaysia sekarang merupakan hasil kacukan dan penyelidikan yang mengambil masa bertahun-tahun untuk menghasilkan benih padi yang bermutu. Penyelidikan oleh pihak MARDI membantu pembangunan jenis padi yang mampu mengeluarkan hasil yang lebih banyak, dan mempunyai daya tahan penyakit yang lebih tinggi.
Padi huma merupakan padi asal yang ditanam di Malaysia sebelum padi sawah diperkenalkan. Padi huma atau padi bukit, biasanya di tanam di kawasan lereng-lereng bukit secara teres dan tidak memerlukan penggunaan air yang banyak. Walau bagaimanapun padi huma mempunyai hasil yang rendah dan kurang bermutu. Ini disebabkan padi huma ditanam dengan cara tradisional dan kurang menggunakan peralatan moden serta  baja dan  benih yang digunakan adalah kurang bermutu. Padi huma  juga tidak dijaga dengan baik  kerana diusahakan secara kecil-kecilan oleh penduduk setempat di pedalaman. Dengan itu  padi huma sering  dirosakkan oleh serangga. Padi huma banyak ditanam di Sabah dan Sarawak yang kebiasaannya diusahakan oleh bumiputera seperti Iban dan Murut.  Di semenanjung pula, padi huma ditanam oleh orang-orang asli di kawasan pedalaman yang berbukit bukau. Kelebihan padi huma adalah padi huma tidak memerlukan jumlah air yang banyak dan dapat ditanam di kawasan di mana air tidak dapat bertakung.

Padi huma yang terkenal di Sarawak ialah yang ditanam di Bario oleh orang Kelabit. Bario, yang bermaksud "angin" dalam bahasa Kelabit adalah sebuah dataran tinggi terletak kira-kira 1,150 meter di atas paras laut di kawasan timur-laut Sarawak, di situ  ialah  sumber bagi sejenis  padi huma yang menghasilkan beras wangi, yang popular dengan sebutan "beras Bario." Selain itu, ia juga terkenal dengan nenasnya yang manis dan enak.


BERAS

BERAS ialah sejenis bijirin yang dihasilkan daripada  padi yang dibuang kulitnya.  Terdapat dua jenis beras iaitu beras biasa untuk nasi dan beras  pulut.



Beras pulut (Glutinous Rice) ialah beras yang melekat dan melekit apabila dimasak.  Jenis beras ini sering digunakan untuk sushi atau pemanis mulut.  Pulut menyerupai beras tetapi warnanya tidak berkilat dan ia mengandungi kandungan kanji yang lebih banyak, menjadikannya melekit apabila dimasak. Pulut boleh dibuat tapai pulut, pulut kuning, pulut lepa, pulut manis

Pulut tidak  mengandungi gluten diet, iaitu ia tidak mengandungi glutenin dan gliadin. Oleh itu, ia boleh digunakan untuk diet bukan gluten. Apa yang membezakannya daripada jenis-jenis beras yang lain adalah bahawa ia mengandungi amat sedikit atau langsung tidak mengandungi sebarang amilose, tetapi sebaliknya mengandungi banyak amilopektin. Kedua-dua bahan tersebut merupakan bahan kanji. Amilopektin menyebabkan bijirin ini bersifat lekit. Perbezaan ini telah dikesani ke satu mutasi tunggal yang dipilih oleh petani . Pulut  direkodkan kewujudannya sejak sekurang-kurangnya 1,100 tahun dahulu  lagi di kawasan Thailand, Jepun, Vietnam, China, dan Laos.

NASI

NASI ialah makanan ruji penduduk di kebanyakan negara Asia. Nasi  dihasilkan dengan memasak beras bersama sedikit air, dan cara ini  disebut sebagai menanak, iatu daripada kata dasar tanak. Nasi juga boleh dimasak dengan cara mengukus. Apabila  sudah masak,  nasi akan kelihatan berbiji-biji dan berwarna putih. Nasi selalunya dimakan  bersama lauk pauk seperti ikan, ayam, daging dan sayur-sayuran yang dimasak mengikut resepi tertentu, samada digoreng atau dibuat sup dan gulai  atau kari untuk kuah.

Orang Melayu sangat pandai memasak nasi. Pelbagai  citarasa nasi boleh dinikmati dengan pelbagai jenis lauk pauk. Nasi Lemak  adalah sangat sinonim dengan Malaysia.  Juadah ini dijadikan sarapan bagi penduduk di Malaysia. Nasi kerabu dan nasi dagang terkenal di pantai timur Malaysia, iaitu Kelantan dan Terengganu. Nasi ulam pula menjadi juadah  penduduk negeri Kedah bersama sayur keladi. Selain itu nasi daging, nasi tomato, beriyani, nasi hujan panas dan lain-lain digemari penduduk tempatan di Malaysia.  Nasi juga boleh digoreng sebagai hidangan istimewa dengan pelbagai resepi. 



No comments:

Post a Comment